Sejak umur aku dah masuk 40-an ini, momen yang aku paling gemari dalam hidup sekarang adalah apabila seseorang menunjukkan aku satu perspektif baharu. Cara berfikir yang tidak pernah aku terfikir sebelum ini.
Sebaik-baiknya, ia adalah sesuatu yang pada asalnya aku bangkang atau rasa kurang setuju, tetapi mereka berjaya bantu aku faham kenapa perkara itu berkesan untuk mereka.
Perbualan-perbualan sebegini adalah yang paling sukar dilupakan, kerana daripada situ aku dapat memahami logik mereka apabila berhadapan dengan situasi tertentu:
Seorang prospek menjelaskan kenapa dia rasa produk yang mahal itu tidak berbaloi, dan daripada situ aku faham trauma dan kerugian yang pernah dia hadapi dengan produk-produk sebelum ini.
Seorang downline berkeras mahu mencuba caranya sendiri walaupun “sistem” sudah sedia ada, kerana dia mahu membuktikan keupayaan dirinya sendiri sebelum dia benar-benar bersedia untuk dipimpin.
Seorang anak muda lepasan universiti menjelaskan kenapa dia lebih rela memandu Grab daripada memulakan karier korporat, demi mengejar fleksibiliti masa yang tidak pernah didapati oleh generasi sebelum ini.
Seorang netizen melepaskan amarahnya di ruangan komen, mendedahkan bagaimana media sosial telah menjadi ruang selamat untuk manusia meluahkan kekecewaan hidup yang tidak mampu mereka suarakan di dunia nyata.
Seorang anak kecil yang menangis mahukan mainan, sebenarnya bukan mahukan barang tersebut, tetapi sedang menggunakan satu-satunya cara yang dia tahu untuk memancing perhatian bapanya yang asyik scroll handphone.
Seorang yang sering memberi alasan tentang modal dan masa, rupa-rupanya dia sedang menyembunyikan rasa takut yang amat sangat terhadap sebuah kegagalan.
Lalu, orang-orang yang dahulunya mungkin kita anggap salah, pelik, atau tidak praktikal, tiba-tiba sahaja mula masuk akal.
Menganggap orang lain salah atau bodoh bukanlah satu proses berfikir. Memahami jalan cerita dalam kepala otak mereka, barulah betul.
Dalam hidup dan bisnes, aku tidak pernah mahu berdebat. Tetapi jika terpaksa, aku berharap aku yang kalah. Aku tidak mahu meyakinkan sesiapa tentang perspektif yang aku pegang sekarang. Aku lebih rela diyakinkan oleh perspektif mereka.
Kerana apabila kita merendahkan ego dan menganggap bahawa orang lain itu betul, waktu itulah kita mendapat akses untuk melihat isi otak mereka yang paling dalam. Dan sesiapa yang paling faham bagaimana minda manusia berfungsi, dia yang akan tenang dan menang.